Unit Destini Ambil Alih Everyday Success Pada Rm90 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Unit milik penuh Destini Bhd, Destini Armada Sdn Bhd, akan mengambil alih keseluruhan modal terbitan dan berbayar anak syarikat milik penuh Destination Marine Services (DMS) Sdn Bhd, Everyday Success Sdn Bhd, pada RM90 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Destini berkata syarikat memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan DMS bagi cadangan pengambilalihan berkenaan.

“Pembelian itu akan dilaksanakan melalui gabungan pembayaran tunai sebanyak RM15 juta manakala baki RM75 juta melalui penerbitan 107,142,857 saham biasa 10 sen setiap satu dalam Destini,” katanya.

Menurut Destini, susulan pemeteraian perjanjian berkenaan, DMS akan menyuntik beberapa aset yang dikenal pasti/dipersetujui ke dalam Everyday Success bagi membolehkannya beroperasi sebagai syarikat pembinaan kapal.

DMS, pada 15 Jun 2015, menerima kontrak bernilai RM381.30 juta daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) untuk membekal, menyerah, menguji dan mentauliahkan enam kapal peronda kepada APMM bagi tempoh kontrak 35 bulan, katanya.

“DMS, APMM dan Everyday Success hendaklah melaksanakan perjanjian novasi untuk maksud melaksanakan novasi untuk Everyday Success bagi semua hak-hak dan liabiliti DMS di bawah kontrak yang diberikan oleh APMM untuk DMS berhubung dengan projek itu,” kata Destini.

Source : Bernama

Search