Dua Stesen Radar Di Perairan Selat Melaka Dijangka SiapTahun Depan – APMM

PELABUHAN KLANG, 18 Nov (Bernama) — Dua buah stesen radar yang bakal digunakan untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di Perairan Selat Melaka oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka siap pembinaan selewat-lewatnya tahun depan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, stesen radar itu akan dibina di Pulau Jarak, Perak dan Pulau Perak, Kedah.

Beliau berkata, APMM kini dalam proses mengenalpasti tapak sesuai bagi pembinaan stesen radar itu yang melibatkan kos keseluruhan RM50 juta.

“Dengan adanya radar ini, ia meningkatkan pemantauan APMM di perairan Selat Melaka dengan keupayaan jangkauan jarak tugas melebihi 30 batu nautika dalam keadaan cuaca baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ‘Keel-Laying’ bagi pembinaan

kapal ronda untuk kegunaan APMM oleh Kumpulan Destini Bhd di sini Rabu.

Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ahmad Puzi berkata pada masa ini, APMM memiliki sembilan stesen radar di perairan Selat Melaka yang memantau dan menyalurkan maklumat kepada kapal serta bot rondaan APMM mengenai bot-bot yang mencurigakan selain tiga stesen radar di Sabah yang meliputi Kota

Kinabalu sehingga ke Kudat.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk menggantikan aset APMM memandangkan ada antara kapal serta bot yang dimiliki agensi itu sudah usang dan melebihi tempoh jangka hayat yang sepatutnya.

Menurutnya, walaupun usia APMM baru mencecah 10 tahun, kapal serta bot yang digunakan mempunyai banyak kekurangan atas faktor usia.

“Ada antara aset APMM yang diberikan oleh agensi penguatkuasaan lain mencecah usia 30 dan 51 tahun dan sudah tiba masanya ia digantikan dengan kapal yang baharu,” katanya sambil menambah APMM kini mempunyai 245 buah aset yang terdiri daripada kapal dan bot.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Destini, Tan Sri Rodzali Daud ketika berucap pada majlis itu berkata sebanyak enam kapal ronda berukuran 44.25 meter panjang bagi kegunaan APMM akan dibina Kumpulan Destini dengan syarikat Destini Shipbuilding and Engineering

Sdn Bhd diberi tanggungjawab mengurus dan mentadbir keseluruhan projek tersebut.

Katanya, kesemua enam kapal ronda itu yang bernilai RM381.3 juta akan diserahkan kepada APMM secara berperingkat mulai akhir Disember 2016 dan yang terakhir dijadual pada Jun 2018.

Beliau berkata kapal peronda pesisir pantai itu boleh mencapai kelajuan maksimum 24 knot dan berupaya membawa 41 anak kapal.

Jelasnya kapal-kapal tersebut dilengkapi dengan sistem senjata 30mm dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk tujuan peninjauan.

 
– BERNAMA –
19 November 2015

Source : Bernama

Search